Fadlilat lima ayat..

Ayat Lima ialah ayat yang diambil daripada lima surah dalam al-Quran. Setiap satu daripada Ayat Lima itu terdapat 10 huruf ‘Qaf’ (kaf besar) menyebabkan Ayat Lima juga boleh dikenali dengan ayat 50 Qaf.

1) Ayat pertama diambil daripada Surah Al-Baqarah ayat 246 yang bermaksud: “Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) mengenai (kisah) ketua-ketua dari Bani Isra’il sesudah (wafatnya) Nabi Musa ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka: Lantiklah seorang raja untuk kami supaya kami boleh berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah. Nabi mereka menjawab: Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?”

“Mereka berkata: Mengapa pula kami tidak berperang pada jalan Allah sedangkan kami diusir dari kampung halaman kami dan (daripada) anak-anak kami? Maka apabila perang itu diwajibkan ke atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Dan ingatlah, Allah Maha Mengetahui akan orang yang zalim.” (Allah yang berkuasa untuk melaksanakan apa yang dikehendaki).


2) Ayat kedua diambil daripada Surah Al-Imran ayat 181 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya dan Kami akan katakan kepada mereka: Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar. (Allah yang Maha Kuat tidak memerlukan pada pertolongan orang).”


3) Ayat ketiga diambil daripada Surah An-Nisaa ayat 77 yang bermaksud:

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan) dan dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat.” (Mereka meminta juga untuk berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak antara mereka rasa gerun kepada manusia sama seperti mereka rasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi.

“Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini?) Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)? Katakanlah (wahai Muhammad): Mata benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit saja, (dan akhirnya akan lenyap) dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak dianiaya sedikit pun.” (Allah Maha Perkasa kepada orang yang melampaui batas dan orang yang berdosa).


4) Ayat keempat diambil daripada Surah Al-Maaidah ayat 27 yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua anak Adam (Habiil dan Qabiil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban seorang antaranya (Habiil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabiil). Berkata (Qabiil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu! (Habiil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Allah Maha Suci menunjukkan kepada orang yang dikehendaki.)


5) Ayat kelima diambil daripada Surah Ar-Ra’du ayat 16 yang bermaksud: “Bertanyalah (wahai Muhammad): Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi? Jawablah: Allah.. Tanyalah lagi: Kalau demikian, patutkah kamu menjadikan benda lain daripada Allah sebagai pelindung dan penolong yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya? Tanyalah lagi: Adakah sama, orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap gelita dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaan-Nya, sehingga ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka?”

“Katakanlah: Allah jua yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dialah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa.” (Allah terus mengurus makhluknya yang memberi rezeki kepada orang yang dikehendaki, rezeki kekuatan.


Ayat Lima mengandungi rahsia dan khasiat yang amat bererti, antaranya:

- Ibnu Musa meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. selalu membaca Ayat Lima sama ada ketika baginda berada dalam negeri atau dalam perjalanan atau peperangan. Dalam peperangan, baginda selalu dapat mengalahkan orang kafir serta orang munafik dan selalu mendapat pertolongan Allah.

- Sayyidah ‘Aisyah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. memperjelaskan bahawa apabila Ayat Lima ditulis dalam mangkuk kemudian diisi dengan air dan airnya diminum pada Jumaat, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya sambil hatinya diisi dengan nur hidayah keyakinan serta kasih sayang.

- Apabila selalu dibaca seorang pemimpin, hatinya akan ditetapkan Allah dan diberi pengaruh serta kekuatan dan semua orang pimpinannya akan patuh kepadanya.

- Jika ditulis dan digantung pada hujung senjata untuk menghadapi musuh dalam pertempuran, maka Allah akan memecahbelahkan kekuatan musuh.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails